Jumaat, 15 April 2022

PENGENALAN

     Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) telah memasuki dunia moden masa kini, iaitu peralihan atau pertukaran daripada era digital kepada era siber fizikal. Revolusi 4.0 merupakan pembaharuan daripada Revolusi 3.0. Kehadiran Revolusi Perindustrian 4.0 akan mengubah cara hidup dan bekerja manusia. Oleh yang demikian pekerja sektor industri perlu dilengkapi pelbagai kemahiran khusus untuk menghadapi IR 4.0. Sehubungan itu, Industri 4.0 mencakupi sembilan (9) penemuan pelbagai teknologi baharu seperti Internet of Things (IoT), analisis dan big data, pengkomputeran awan, keselamatan siber, integrasi sistem, robotik, automasi, simulasi, realiti tambahan, pembuatan bahan tambahan (additive manufacturing) dan simulas yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.  Pada kajian ini, 3 teknologi baharu dalam IR 4.0 telah dipilih iaitu Internet of Things (IoT), integrasi sistem dan keselamatan siber. 




Internet of Things (IoT)

    Internet of Things (IoT) merupakan satu konsep yang melibatkan peralatan, mesin, sensor, dan peranti dihubungkan dengan internet and berlaku pengumpulan dan perpindahan data menerusi rangkaian. Peralatan atau aplikasi yang boleh dihubungkan dengan rangkaian internet dan melibatkan pemindahan data antara peranti boleh dikategorikan sebagai IoT.Antara contoh peralatan IoT ialah telefon, pembaca nadi, alat pengesan haba dan bunyi serta kamera dan lain-lain lagi. Di arus pemodenan ini, internet sangat mudah untuk didapati dan diakses di mana-mana. Dalam proses mencipta suatu teknologi baharu, proses pembuatannya sangat penting iaitu melibatkan proses mencipta maklumat, mengimbas objek fizikal dan juga mencipta data. Data ini kemudiannya diselarikan dengan penciptaan mesin dari segi reka bentuk dan berpindah dari dunia digital ke dunia fizikal. Hari ini, IoT ini sangat diperlukan pada sektor perkhidmatan dan pembuatan kerana ianya dapat membuka peluang besar untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan yang lebih baik, penawaran perkhidmatan baharu, kecekapan operasi yang dipertingkatkan dan cara baharu sepenuhnya untuk menawarkan nilai kepada pelanggan.

Istilah IoT juga merujuk kepada perluasan penggunaan input dan output pintar seperti penggunaan analog, digital, audio dan video yang telah diguna pakai secara besar-besaran untuk berkomunikasi menggunakan data internet dan juga kemudahan wifi. Di Malaysia, banyak juga penggunaan peranti yang melibatkan IoT seperti penjagaan kesihatan, penggunaan kawalan lalu lintas, proses pembuatan dan sebagainya.

Penggunaan IoT sebenarnya memberikan banyak manfaat dalam perkhidmatan dan perniagaan negara Malaysia. Peranti IoT boleh digunakan untuk sistem pemantauan kesihatan dan dapat menghantar notifikasi kecemasan secara jarak jauh. Pemantauan kesihatan yang boleh digunakan pada peranti IoT ialah melalui penggunaan jam tangan pintar. Penggunaan jam tangan pintar dapat ialah dapat mengesan denyutan jantung dan nadi, dapat mengetahui tekanan darah, mengukur jarak langkah seseorang pada setiap hari. Jam tangan pintar juga adalah satu peranti yang boleh disambungkan melalui telefon yang membolehkan setiap notifikasi dan panggilan kecemasan dapat dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Ini menjelaskan bahawa peranti IoT pada jam tangan pintar sangat memberikan fungsi yang baik kepada setiap pengguna. Setiap model jam tangan pintar juga dikeluarkan mengikut fungsi-fungsinya yang tertentu. Kebanyakan daripada pengguna jam tangan pintar ini menggunakannya untuk bersukan atau bersenam. Ini kerana, jam tangan pintar ini mudah dibawa ke mana sahaja dan hanya perlu menyambungkan peranti ini dengan telefon bimbit masing-masing. Selain itu, beberapa model jam tangan pintar juga dapat mengakses pembayaran tanpa sentuh melalui aplikasi “Apple Pay”, “E-Wallet” dan lain-lain yang boleh memudahkan urusan seseorang tanpa mengeluarkan wang. Ini menjadikan jam pintar ini boleh dikategorikan sebagai jam yang mempunyai pemprosesan khusus, menyimpan memori dan paparan digital serta boleh berlakunya proses pemindahan data dengan peranti yang lain. Antara tiga platform utama yang mengoperasikan jam tangan pintar ialah seperti AppleSamsung dan juga Apple.

Dalam era pandemik ini, penggunaan IoT seperti telefon dalam memberikan hasil yang baik kepada sektor perniagaan. Pada hari ini dapat kita saksikan bahawa perniagaan dalam talian semakin meningkat. Menurut Berita Harian 2021, sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mula mengendalikan perniagaan mereka dalam talian. Malahan, menurut Berita Harian itu lagi, aktiviti perniagaan mula meningkat. Berdasarkan hasil carian dalam internet, sememangnya penggunaan IoT ini mendatangkan hasil yang baik kepada peniaga-peniaga kecil. Malahan, penggunaan peranti yang canggih seperti telefon juga dapat memperluas jangkauan pasaran perniagaan. Seperti contoh, aplikasi Shopee sememangnya diwujudkan khas untuk memudahkan urusan pembelian dihujung jari. Aplikasi Shopee ini telah menyediakan pelbagai jenis keperluan harian seperti barangan basah, barangan dapur, pakaian harian, makanan termasuk juga ubat-ubatan. Malahan, kedai-kedai yang diwujudkan di aplikasi Shopee ini juga boleh dipercayai dan sahih seperti farmasi, watson, guardian dan lain-lain. Aplikasi Shopee juga dapat memberikan peluang kepada peniaga-peniaga kecil untuk memperluaskan perniagaan. Selain daripada aplikasi Shopee yang sememangnya diwujudkan khusus untuk pembelian dalam talian, terdapat pelbagai jenis aplikasi lagi seperti Lazada, Foodpanda, Grab dan lain-lain untuk meningkatkan lagi digitalisasi dan e-dagang.

Selain itu, IoT juga memberi kebaikan dalam ketika berada dalam situasi yang sukar. Sebagai contoh, penggunaan RFID pada setiap kereta di laluan tol dapat menjadikan masalah jalan sesak semakin berkurangan. Penciptaan cip dan kod pada RFID itu sendiri dapat dibaca dengan jelas oleh pihak tol yang membolehkan setiap kereta bergerak tanpa halangan. Selain itu, teknologi IoT juga dapat dijadikan sebagai aplikasi pemantauan alam sekitar yang menggunakan sensori khas untuk mengawasi alam sekitar termasuk kualiti udara dan air dan  keadaan muka bumi dan tanah. Pembangunan peranti yang baharu dan canggih pada abad ini dapat mengesan amaran awal terhadap sesuatu bencana yang mungkin akan berlaku. sebagai contoh, sebelum berlakunya Tsunami, penggera kecemasan akan berbunyi dengan kuat kepada masyarakat setempat untuk menandakan suatu bencana akan berlaku dan penduduk perlu bersiap sedia terhadap sebarang ancaman yang berlaku. Peranti IoT yang dibina khusus ini juga perlu diletakkan di tempat awam yang luas dan mudah didengari supaya masyarakat dapat menerima amaran dengan jelas.

Antara keburukan IoT ialah ketidakserasian sambungan. Ketidakserasian sambungan yang dimaksudkan adalah beberapa peranti tidak mampu bersambung dengan peranti yang lain. Sebagai contoh, peranti jenama “Apple” tidak boleh disambungkan dengan peranti jenama “Android” dan sebaliknya. Ini menyebabkan berlakunya kerumitan apabila peranti tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik. Keburukan kedua IoT ialah perisian yang tidak selamat dan mudah digodam. Ini berlaku berikut terlalu ramai penggunaan akses IoT ini. Malahan, terdapat beberapa aplikasi dan sistem dalam IoT tidak dapat berfungsi akibat daripada peningkatan permintaan akses.



INTEGRASI SISTEM

           Teknologi IR 4.0 seterusnya adalah integrasi sistem. Integrasi sistem adalah sebuah sistem maklumat utuh yang diwujudkan untuk mencapai tujuan tertentu. Ianya melibatkan proses menggabungkan beberapa subsistem dan sub-komponen ke dalam satu sistem yang lebih besar yang akan membolehkan semua sub-komponen berfungsi bersama. Oleh itu, sistem Teknologi Maklumat (IT) organisasi dapat berkomunikasi antara satu sama lain dengan berkesan. Sistem integrasi dapat meningkatkan aliran maklumat, produktiviti dan mengurangkan kos operasi dalam sesebuah organisasi. Teknologi ini dilihat semakin berkembang selari dengan peredaran zaman.

            Integrasi sistem ini juga meliputi penggunaan suatu sistem yang dibangunkan untuk menyokong fungsi sesebuah organisasi. Kewujudan suatu sistem ini juga beroperasi untuk mengemaskini data secara lebih terperinci dan efisyen. Malahan, penggunaan integrasi sistem ini menjadikan data tersebut lebih tepat dan dipercayai. Penggunaan integrasi sistem ini wujud sebagai rujukan untuk kesan jangka masa panjang. Integrasi sistem ini juga ditakrifkan sebagai proses menghimpunkan subsistem komponen ke dalam satu sistem yang lebih besar untuk memastikan sistem tersebut dapat menyampaikan maklumat secara menyeluruh dan berfungsi sebagai satu sistem yang sama dan selaras. Integrasi sistem ini melibatkan penggunaan rangkaian komputer, penyepaduan aplikasi dan pengaturcaraan manual yang telah sedia ada tetapi telah dinaik taraf menjadi satu sistem yang lebih baik. Pada abad ke 21 ini, penggunaan integrasi sistem amat penting dalam perkhidmatan dan perindustrian Malaysia.

Fungsi integrasi sistem dalam IR4.0 adalah untuk membolehkan sistem-sistem aplikasi yang berasingan dapat melaksanakan tugas dengan selari dan bersepadu. Ini kerana, terdapat banyak aplikasi yang telah dibangunkan oleh sesebuah organisasi berdasarkan fungsi-fungsinya yang tertentu. Integrasi sistem ini dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan juga memudahkan sesebuah organisasi mencapai matlamat. Integrasi sistem ini juga dapat menghubungkan dua atau lebih sistem yang sama atau berbeza untuk saling bertukar data dan menghasilkan informasi baharu. Sebagai contoh, penggunaan “Mysejahtera” yang telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan Malaysia dalam mengatasi penularan wabak Covid-19 ini sememangnya sangat memberi manfaat kepada semua pihak. Ini kerana, setiap pelanggan yang ingin memasuki setiap kedai atau premis perlu mengimbas kod yang disediakan terlebih dahulu sebelum masuk. Ini menjadikan maklumat dan data yang telah diimbas oleh pelanggan sampai kepada pihak kerajaan dan juga pihak premis selari dan juga sampai kepada pihak yang lebih bertanggungjawab. Keselarian maklumat ini juga membolehkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan pesakit Covid-19 dengan pantas berdasarkan sistem aplikasi “Mysejahtera” yang telah dibangunkan.

Antara kebaikan integrasi sistem ialah dapat meningkatkan produktiviti. Kesan daripada integrasi sistem, ianya memudahkan lagi tugas pekerja-pekerja untuk berkomunikasi antaa satu sama lain. Malahan, apabila sistem itu selari, tugas yang diarahkan akan lebih mudah disiapkan. Setiap pekerja hanya perlu membuka satu sistem sahaja dan kemudiannya segala maklumat dan data yang diperlukan akan terpapar sesuai dengan keperluan pekerjaan masing-masing. Ianya juga menjadikan tugas yang diarahkan mengambil masa yang tidak lama untuk disiapkan di samping dapat meningkatkan produktiviti syarikat.

Antara keburukan integrasi sistem ialah menyukarkan pengguna kepada golongan yang kurang mampu. Sebagaimana yang kita tahu, integrasi sistem ini dapat menghubungkan dua atau lebih sistem yang sama atau berbeza untuk saling bertukar data. Ianya juga melibatkan penggunaan peranti yang canggih untuk penghasilan pertukaran data. Oleh hal yang demikian, ianya sangat memberi keburukan kepada pengguna-pengguna yang kurang mampu. Ini adalah kerana, data dan maklumat tidak dapat dialihkan menggunakan peranti biasa. Golongan kurang mampu juga tidak mampu untuk membeli peranti yang mahal. Sebagai contoh, aplikasi dan sistem “Mysejahtera” tidak dapat diakses menggunakan peranti biasa.

Integrasi sistem juga memberikan keburukan kepada golongan warga emas. Ini kerana warga dianggap buta teknologi kerana tidak pandai teknologi-teknologi dan peranti yang canggih. Malahan, sesetengah daripada warga emas juga tidak mempunyai sebarang peranti. Ini menjadikan warga emas agak terasing daripada masyarakat tambahan lagi sejak berlakunya pandemik Covid-19. Hal ini kerana, golongan emas yang tidak mempunyai “Mysejahtera” tidak dapat memasuki premis dan kedai untuk membeli barangan keperluan. Selain itu, peralihan sumber pengetahuan bercetak kepada digital seperti perbankan dan jual beli dalam talian juga menjadikan warga emas terasing daripada dunia luar apabila tidak mampu untuk berbuat sedemikian. 



KESELAMATAN SIBER

         Istilah keselamatan siber dapat didefinisikan sebagai keselamatan dalam penggunaan komputer dan internet. Penggunaan siber ini semakin rancak digunakan sejak dari kemunculan pelbagai teknologi-teknologi canggih yang sentiasa dinaik taraf untuk kemudahan masyarakat. Kebiasaannya, siber ini merujuk kepada penggunaan komputer dan internet antara satu individu ke individu yang lain. Secara umumnya, penggunaan teknologi siber ini semakin berkembang pesat tambahan lagi sejak peningkatan kes Covid-19 ini. Ini kerana, banyak aplikasi-aplikasi yang semakin pesat digunakan oleh rakyat Malaysia untuk memudahkan suatu urusan harian tanpa keluar atau ke pusat membeli belah. Penggunaan teknologi siber juga digunakan oleh peniaga untuk meningkatkan produktiviti, meningkatkan daya saing dan juga menggalakkan perkembangan aktiviti perniagaan baharu secara dalam talian. Seiring dengan penggunaan siber yang semakin pesat, keselamatan siber ini perlu dipantau. Ini kerana, banyak keburukan dan kebaikan dapat dikesan. Penggunaan siber juga dikaitkan dengan komunikasi hubungan antara satu sama lain yang mempunyai profil masing-masing. Penggunaan siber ini juga meliputi penggunaan media sosial yang semakin meluas di kalangan anak muda dan juga masyarakat di Malaysia. Kesan dari peningkatan penggunaan siber dan media sosial di Malaysia. 

Antara fungsi keselamatan siber adalah untuk melindungi maklumat dan data pengguna. Sebagaimana yang telah dihuraikan, siber meliputi penggunaan elektronik seperti telefon dan komputer untuk mengakses media sosial seperti facebook, tiktok, instagram dan lain-lain. Setiap dari pengguna perlu memasukkan data dalam profil media sosial masing-masing. Ini menyebabkan data peribadi setiap pengguna mula terdedah kepada orang awam. Sebenarnya, setiap pengguna media sosial ini terdedah kepada penipuan dalam talian, scammer dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, keselamatan siber ini perlu lebih diperkukuh oleh pihak yang bertanggungjawab. Keselamatan siber juga bertindak sebagai pelindung dari ancaman siber. Bukan hanya sekadar melindungi maklumat orang biasa, malahan keselamatan siber ini juga memberi fungsi kepada perniagaan. Keselamatan siber ini mampu melindungi sebarang rahsia perniagaan melalui protokol keselamatan. Prosedur dan polisi keselamatan siber yang melindungi setiap data perniagaan boleh memberi sebarang peringatan dan langkah selamat untuk melindungi sebarang jenayah siber.

Keselamatan siber yang canggih mampu menyimpan data dan maklumat peribadi setiap pengguna dengan baik. Oleh hal yang demikian, segala maklumat dan data peribadi tidak akan terdedah dan selamat. Pengguna juga tidak perlu risau ketika menggunakan sebarang perisian. Keselamatan siber ini akan lebih terjamin sekiranya pihak kerajaan dan pihak polis memainkan peranan masing-masing. Data dan maklumat yang disimpan juga perlulah lebih ketat dan selamat agar tidak berlakunya sebarang godaman. Kebaikan keselamatan siber yang seterusnya ialah mampu menaikkan nama Malaysia di mata dunia. Memetik laporan Sinar Harian, Jun 2021, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara 10 negara terbaik berkaitan keselamatan siber. Hal ini kerana, Malaysia telah menyediakan program-program latihan kemahiran teknikal dan kompetensi serta persijilan profesional melibatkan domain keselamatan siber. Malaysia juga dikatakan telah membuat kerjasama menyeluruh dengan pihak lain untuk mengetatkan lagi keselamatan siber negara.

Selain daripada itu, keselamatan siber juga mempunyai keburukan tertentu iaitu kebocoran maklumat dan data oleh pihak ketiga. Sebagaimana yang kita tahu, penipuan dalam talian sangat berleluasa pada waktu ini. Sindiket penipuan ini berjaya menggodam maklumat dan data peribadi seseorang sehinggakan wang di dalam akaun bank turut lesap. Ini membuktikan bahawa keselamatan siber masih berada pada tahap lemah. Tambahan lagi, gambar-gambar peribadi seseorang juga dapat digodam apabila berlakunya penyebaran gambar lucah dan gambar-gambar tidak senonoh pada waktu ini. Keburukan siber yang seterusnya ialah rakyat Malaysia terlalu mudah mempercayai terhadap sesuatu perkara. Jenayah siber di Malaysia di Malaysia ini semakin berleluasa akibat daripada pemikiran rakyat Malaysia yang lemah. Ini kerana, mereka mudah mempercayai terhadap sesuatu perkara dengan yakin dan pasti. Sebagai contoh, seseorang itu telah mudah mempercayai skim pelaburan “bitcoin” ataupun skim pelaburan lain yang mengakibatkan kerugian duit dalam jumlah yang besar.



KESIMPULAN

         Kesimpulannya, kemajuan teknologi Revolusi Industri 4.0 ini akan terus memberi kesan sama ada kesan baik atau kesan buruk kepada semua sektor di Malaysia. Penggunaan teknologi yang sangat maju ini juga dapat memberikan kesan yang banyak dalam aspek kehidupan. Perubahan yang pantas dalam Revolusi Industri 4.0 ini juga memerlukan pelan perancangan yang mampan dan menyeluruh oleh semua pihak termasuklah penggubal dasar negara supaya perkembangan ekonomi berasaskan Revolusi Industri 4.0 dapat dimanfaatkan sebaiknya. Diharapkan juga melalui Revolusi Industri 4.0 ini, negara Malaysia juga akan setanding dengan negara-negara maju yang lain dari segi penggunaan teknologi yang canggih dan juga dari segi penggunaan rangkaian internet di Malaysia. 




PENGENALAN

       Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) telah memasuki dunia moden masa kini, iaitu peralihan atau pertukaran daripada era digital kepada era ...