Jumaat, 15 April 2022

INTEGRASI SISTEM

           Teknologi IR 4.0 seterusnya adalah integrasi sistem. Integrasi sistem adalah sebuah sistem maklumat utuh yang diwujudkan untuk mencapai tujuan tertentu. Ianya melibatkan proses menggabungkan beberapa subsistem dan sub-komponen ke dalam satu sistem yang lebih besar yang akan membolehkan semua sub-komponen berfungsi bersama. Oleh itu, sistem Teknologi Maklumat (IT) organisasi dapat berkomunikasi antara satu sama lain dengan berkesan. Sistem integrasi dapat meningkatkan aliran maklumat, produktiviti dan mengurangkan kos operasi dalam sesebuah organisasi. Teknologi ini dilihat semakin berkembang selari dengan peredaran zaman.

            Integrasi sistem ini juga meliputi penggunaan suatu sistem yang dibangunkan untuk menyokong fungsi sesebuah organisasi. Kewujudan suatu sistem ini juga beroperasi untuk mengemaskini data secara lebih terperinci dan efisyen. Malahan, penggunaan integrasi sistem ini menjadikan data tersebut lebih tepat dan dipercayai. Penggunaan integrasi sistem ini wujud sebagai rujukan untuk kesan jangka masa panjang. Integrasi sistem ini juga ditakrifkan sebagai proses menghimpunkan subsistem komponen ke dalam satu sistem yang lebih besar untuk memastikan sistem tersebut dapat menyampaikan maklumat secara menyeluruh dan berfungsi sebagai satu sistem yang sama dan selaras. Integrasi sistem ini melibatkan penggunaan rangkaian komputer, penyepaduan aplikasi dan pengaturcaraan manual yang telah sedia ada tetapi telah dinaik taraf menjadi satu sistem yang lebih baik. Pada abad ke 21 ini, penggunaan integrasi sistem amat penting dalam perkhidmatan dan perindustrian Malaysia.

Fungsi integrasi sistem dalam IR4.0 adalah untuk membolehkan sistem-sistem aplikasi yang berasingan dapat melaksanakan tugas dengan selari dan bersepadu. Ini kerana, terdapat banyak aplikasi yang telah dibangunkan oleh sesebuah organisasi berdasarkan fungsi-fungsinya yang tertentu. Integrasi sistem ini dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan juga memudahkan sesebuah organisasi mencapai matlamat. Integrasi sistem ini juga dapat menghubungkan dua atau lebih sistem yang sama atau berbeza untuk saling bertukar data dan menghasilkan informasi baharu. Sebagai contoh, penggunaan “Mysejahtera” yang telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan Malaysia dalam mengatasi penularan wabak Covid-19 ini sememangnya sangat memberi manfaat kepada semua pihak. Ini kerana, setiap pelanggan yang ingin memasuki setiap kedai atau premis perlu mengimbas kod yang disediakan terlebih dahulu sebelum masuk. Ini menjadikan maklumat dan data yang telah diimbas oleh pelanggan sampai kepada pihak kerajaan dan juga pihak premis selari dan juga sampai kepada pihak yang lebih bertanggungjawab. Keselarian maklumat ini juga membolehkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan pesakit Covid-19 dengan pantas berdasarkan sistem aplikasi “Mysejahtera” yang telah dibangunkan.

Antara kebaikan integrasi sistem ialah dapat meningkatkan produktiviti. Kesan daripada integrasi sistem, ianya memudahkan lagi tugas pekerja-pekerja untuk berkomunikasi antaa satu sama lain. Malahan, apabila sistem itu selari, tugas yang diarahkan akan lebih mudah disiapkan. Setiap pekerja hanya perlu membuka satu sistem sahaja dan kemudiannya segala maklumat dan data yang diperlukan akan terpapar sesuai dengan keperluan pekerjaan masing-masing. Ianya juga menjadikan tugas yang diarahkan mengambil masa yang tidak lama untuk disiapkan di samping dapat meningkatkan produktiviti syarikat.

Antara keburukan integrasi sistem ialah menyukarkan pengguna kepada golongan yang kurang mampu. Sebagaimana yang kita tahu, integrasi sistem ini dapat menghubungkan dua atau lebih sistem yang sama atau berbeza untuk saling bertukar data. Ianya juga melibatkan penggunaan peranti yang canggih untuk penghasilan pertukaran data. Oleh hal yang demikian, ianya sangat memberi keburukan kepada pengguna-pengguna yang kurang mampu. Ini adalah kerana, data dan maklumat tidak dapat dialihkan menggunakan peranti biasa. Golongan kurang mampu juga tidak mampu untuk membeli peranti yang mahal. Sebagai contoh, aplikasi dan sistem “Mysejahtera” tidak dapat diakses menggunakan peranti biasa.

Integrasi sistem juga memberikan keburukan kepada golongan warga emas. Ini kerana warga dianggap buta teknologi kerana tidak pandai teknologi-teknologi dan peranti yang canggih. Malahan, sesetengah daripada warga emas juga tidak mempunyai sebarang peranti. Ini menjadikan warga emas agak terasing daripada masyarakat tambahan lagi sejak berlakunya pandemik Covid-19. Hal ini kerana, golongan emas yang tidak mempunyai “Mysejahtera” tidak dapat memasuki premis dan kedai untuk membeli barangan keperluan. Selain itu, peralihan sumber pengetahuan bercetak kepada digital seperti perbankan dan jual beli dalam talian juga menjadikan warga emas terasing daripada dunia luar apabila tidak mampu untuk berbuat sedemikian. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PENGENALAN

       Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) telah memasuki dunia moden masa kini, iaitu peralihan atau pertukaran daripada era digital kepada era ...